Aktiviti Masjid Dan Surau Di Melaka Dilonggarkan
Jumlah kehadiran Di Masjid
Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali memberitahu bahawa sebelum ini kerajaan negeri menerusi Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) telah mengehadkan kehadiran jemaah di masjid dan surau. Akan tetapi, jumlah itu ditingkatkan kepada kapasiti maksimum 500 jemaah bagi masjid kerajaan, diikuti masjid kariah (maksimum 250 jemaah) dan surau (maksimum 75 jemaah).
Katanya, jumlah maksimum itu adalah berdasarkan dengan mengambil kira penjarakan fizikal satu meter ketika mendirikan solat secara berjemaah.
Aktiviti Lain di Masjid
"Kebenaran turut diberikan kepada aktiviti Kuliah Maghrib, bacaan Yasin dan tahlil pada hari Khamis malam Jumaat tetapi hendaklah dilaksanakan dalam tempoh masa yang sesuai, bagaimanapun aktiviti kuliah atau program selain kuliah Maghrib dan bacaan Yasin hendaklah ditangguhkan, manakala penceramah dari luar Melaka tidak dibenarkan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Ahli jawatankuasa masjid dan surau hendaklah memastikan jemaah mematuhi tatacara operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) seperti pendaftaran jemaah, pemakaian pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal.
"Bagi mendoakan keselamatan negeri dan negara supaya dilindungi dari wabak penyakit, semua masjid dan surau Jumaat dikehendaki mengadakan solat hajat dan membaca Qunut Nazilah selepas solat Jumaat selama tiga minggu berturut-turut bermula Jumaat ini," katanya.
Permohonan Kebenaran Berkahwin
Sementara itu, perkhidmatan permohonan Kebenaran Berkahwin (KB), Temuduga Perkahwinan Islam, pendaftaran perkahwinan, perceraian dan rujuk serta urusan pentadbiran yang berkaitan dengannya seperti carian sijil nikah, cerai dan rujuk akan dibuka melalui temujanji.
Katanya, dalam tempoh PKP ini juga, majlis akad nikah masih dibenarkan dengan mengikut tatacara ditetapkan seperti lokasinya iaitu Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) bagi kariah yang berada dalam zon jingga dan merah, masjid bagi kariah yang berada dalam zon kuning dan hijau atau mana-mana lokasi yang dibenarkan oleh JAIM.
Ulasan
Catat Ulasan